PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, beliau tidak pernah terbabit dalam mana-mana parti politik sepanjang 38 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh juga telah menjelaskan segala-galanya dengan mengesahkan dirinya tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam PKR.
“Insya-Allah pihak akhbar yang berkenaan juga telah memohon untuk bertemu dengan saya dan akan bertemu dengan mereka dalam masa yang terdekat ini.
“Saya memohon kepada semua yang hadir termasuk wartawan yang ada pada hari ini supaya memberikan laporan terbaik dan sempurna serta tidak lari daripada apa yang sepatutnya dilaporkan.
“Saya berharap hubungan yang rapat dan akrab perlu diteruskan di antara pihak polis bersama-sama dengan wartawan semua kerana ia menjadi pokok utama untuk kita memberikan laporan terbaik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini semalam.
Pihaknya juga akan berbincang, mendengar pandangan dan memberi apa yang perlu laksanakan pada masa akan datang bagi mengelak isu sama berulang.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah akhbar tempatan memohon maaf atas kesilapan penyiaran infografik melibatkan Ketua Polis Negara yang mencetuskan kekeliruan kepada orang ramai.
Mohd. Khalid, 60, dilantik sebagai Ketua Polis Negara ke-15 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain, berkuatkuasa Jumaat lalu.
Beliau berpengalaman memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk Ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018 sebelum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 September 2021. – UTUSAN








