KUALA KANGSAR: Pemain industri perladangan termasuk sawit dan getah disyaratkan menggaji pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan sebelum diluluskan mengambil pekerja asing.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan menetapkan prasyarat itu dengan pemain industri perlu membuktikan mereka telah berbuat demikian sebelum pengambilan pekerja asing diluluskan.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, syarat itu akan ditetapkan supaya rakyat tempatan terutama lepasan TVET dalam bidang perladangan dan yang berkaitan diberi peluang latihan serta pekerjaan.
Katanya, negara kini cuba menarik anak muda menyertai TVET dan hasrat itu tidak boleh berjaya sekiranya pemain industri tidak membuka peluang kepada para pelajar.
“Apa yang kita berdepan sekarang, banyak daripada (pemain) industri-industri tidak mahu mengambil lepasan latihan TVET untuk bekerja bagi mendapatkan pengetahuan.
“Saya hendak tekankan, selepas ini mana-mana sektor perladangan (pemain industri) yang hendak minta pekerja asing, mereka kena tunjuk kepada saya bahawa mereka ada mengambil inisiatif untuk pelajar-pelajar TVET.
“Kalau mereka tidak mahu mengambil pelajar TVET, saya tidak akan bagi (luluskan) pengambilan pekerja asing. Saya tidak akan bagi walaupun kerajaan telah meluluskan pekerja asing sektor perladangan kerana tidak ada sumbangan kepada anak-anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis Dialog@KPK Bersama YB Menteri Kementerian Perladangan Dan Komoditi di sini hari ini.
Johari berkata, syarat itu penting kerana negara kini sedang mempromosikan bidang TVET untuk para pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengubah hidup mereka.
“Saya faham kalau kita tidak luluskan pekerja asing, banyak benda tidak boleh dibuat. Tetapi kita hendak suruh mereka ambil sedikit sahaja (pelajar TVET). Mungkin setahun kita latih 250 pelajar TVET, 250 orang ini boleh diagih sesama pemain industri.
“Kita kena bantu mereka ini (pelajar TVET) membangunkan karier. Kalau tidak kita lepaskan sahaja mereka dan tiada tempat untuk meneruskan perkembangan TVET mereka,” katanya.
Jelasnya, kini terdapat kira-kira 260,000 pekerja asing dalam sektor perladangan negara.
Johari berkata, rata-rata golongan muda menganggap sektor perladangan tidak bergaya tetapi jelasnya industri itu menawarkan banyak peluang memandangka ia merupakan komponen penting eksport Malaysia seperti sawit. – UTUSAN