KOTA BHARU: Pemandu bas secara terbuka memohon maaf kepada semua keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim termasuk 15 yang terkorban selepas kenderaan dipandunya itu terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Mohd. Amirul Fadhil Zulkifle, 39, berkata, peringkat awal perjalanan bas yang bertolak dari Terengganu itu berada dalam keadaan baik sebelum insiden tersebut berlaku.
Katanya, secara tiba-tiba dia mendapati brek bas gagal berfungsi dan telah berusaha pelbagai cara untuk menggelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya cuba melakukan pelbagai cara, namun disebabkan angin bas kosong, semuanya jadi tidak berfungsi termasuk brek tangan manakala gear juga tidak boleh ditukar. Ekoran itu, saya berusaha mengelak supaya tidak merempuh kenderaan lain.
“Seingat saya, empat kenderaan saya elak termasuk lori sebelum kejadian. Kenderaan terakhir saya potong adalah kereta yang mempunyai dashcam. Saya sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Amirul Fadhil berkata, bas tersebut seolah-olah nampak dipandu laju dan cuba memotong sedangkan hakikatnya dia telah berusaha mengelak daripada melanggar kenderaan lain.
“Saya tidak laju seperti yang tular kerana saya arif dengan laluan Jeli-Gerik, lebih-lebih lagi lokasi kejadian menuruni bukit.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan keluarga mangsa. Kebanyakan mereka adalah orang sekitar kampung saya dan saya mengenali mereka,” ujarnya.
Utusan Malaysia melaporkan, perjalanan kembali ke kampus 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, dekat sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, 13 pelajar UPSI berusia antara 21 hingga 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik, sementara 27 lagi cedera.
Dua mangsa yang cedera parah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). – UTUSAN