Pernah meraih pujian dan kecaman ketika menyanyikan semula lagu Masing-Masing, kini penyanyi dan pelakon, Bella Astillah sudah boleh menarik nafas lega kerana mempunyai lagu sendiri ciptaan komposer yang sama iaitu Ade Govinda.
Bagai rezeki jatuh dari langit, Bella mengakui dia sendiri tidak sangka lagu saduran itu menjadi asbab komposer terkenal yang berasal dari Indonesia tersebut tertarik untuk menghasilkan lagu yang berjudul Lebih Indah Berpisah khas buatnya.
Bahkan, Bella yakin dirinya tidak akan dikecam lagi oleh sesetengah pihak yang sudah muak mendengar dirinya menyanyikan lagu milik Ernie Zakri itu.
“Segalanya bermula daripada selepas saya menyanyikan semula lagu Masing-Masing tahun lalu. Pergi ke mana-mana acara saya perlu menyanyikan lagu tersebut sampaikan ada yang muak dan marah.
“Saya sedih apabila ada yang menyindir seolah saya tiada lagu sendiri. Maka, saya terpaksa tolak beberapa undangan yang mahu saya nyanyikan lagu Masing-Masing.
“Jadi, saya bersyukur bila Ade sendiri tawar diri untuk buatkan lagu Lebih Indah Berpisah ini untuk saya sebagai tanda penghargaan cover lagu Masing-Masing.
“Sekarang saya sudah ada lagu sendiri dan boleh menyanyi secara berulang banyak kali tanpa ada yang marah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dihasilkan dengan melodi yang cukup indah diiringi bait lirik yang menyentuh kalbu, penyanyi yang berusia 31 tahun itu mengakui berpuas hati dengan hasil karya komposer tersebut.
Kata Bella, dia berharap lagu ini berjaya mendapat tempat di hati peminat malah, terbuka sekiranya ada pihak yang ingin menyanyikan semula lagunya.
“Apabila Ade hadirkan lagu ini, saya rasa saya perlu buat yang terbaik dan berharap mendapat tempat di hati pendengar,” jelasnya.
Tiada Kaitan Dengan Kisah Perceraian
Setiap kali melancarkan lagu ‘galau’, pastinya ibu kepada dua orang cahaya mata ini akan dikaitkan dengan kisah lampaunya yang dua kali gagal dalam rumah tangga.
Bukan itu sahaja, majlis pelancaran lagu ini juga diadakan genap setahun dirinya bercerai dengan penyanyi Singapura, Aliff Aziz yang bertarikh 12 Jun tahun lalu.
Namun, Bella menafikan bahawa lagu Lebih Indah Berpisah itu ada hubung kait dengan kisah hidupnya dan menyifatkan perkara itu adalah kebetulan semata.
“Lagu ini bukanlah 100 peratus berkisarkan tentang kehidupan peribadi saya. Lagu ini juga terhasil bukanlah kerana saya belum boleh meneruskan kehidupan dari kisah hidup saya sebelum ini.
“Tidak semua perpisahan itu adalah untuk menjatuhkan diri sendiri dan menyedihkan. Kadang-kadang, perpisahan itu memang menyakitkan. Tapi mungkin ada keindahan yang menanti selepas perpisahan itu,” kongsinya.
MENANGIS KETIKA RAKAMAN
Dalam masa sama, Bella juga sempat berkongsi cabarannya ketika proses rakaman lagu tersebut dijalankan.
Menurut Bella, dirinya gagal untuk menahan air mata kerana terlalu terkesan dengan hasil karya Ade Govinda.
“Sejujurnya saya terdiam sewaktu pertama kali mendengar lagu ini. Apabila Ade menyuruh saya menyanyikan lagu ini, saya lakukannya dalam keadaan menangis.
“Bila sudah lega baru saya rakamkan semula dalam versi terbaik. Sebagai seorang perempuan, kadang-kadang perasaan sedih itu akan muncul. Bukan kerana terkenang kisah lalu, tetapi liriknya terlalu buat saya tersentuh,” ujarnya.