Sejak namanya memuncak naik kerana kontroversi bersama aktor terkenal, Fattah Amin, kerjaya nyanyian Amira Othman juga mula mendapat tempat kembali dalam industri hiburan tanah air.
Kini, pemilik nama penuh Nadia Amira Othman itu muncul dengan lagu terbaharunya, Dalam Sujudku yang turut menjadi runut bunyi drama bersiri, Dia Bukan Syurga.
Menurut Amira, dia mengakui gimiknya menampilkan Fattah menerusi salah satu muzik video lagunya sebelum ini membuatkan rezeki nyanyiannya semakin melimpah ruah.
“Tidak dinafikan saya hanya menumpang populariti Fattah. Dari awal kemunculan saya bersama Fattah, saya betul-betul menumpang namanya untuk keluarkan lagu dan menyanyi.
“Dalam masa sama, saya yakin pada rezeki di mana setiap rezeki yang datang itu ada asbabnya. Mudah-mudahan orang kenal saya sebagai penyanyi dalam industri seni,” katanya.
Dalam masa sama, Amira mengakui bidang nyanyian sentiasa menjadi kerjaya utamanya meskipun bakatnya sudah berkembang menjadi seorang pelakon dan pengacara.
Kata Amira, dia harus terus tampil dengan karya-karya yang berkualiti dalam bidang nyanyian untuk kekal relevan memandangkan namanya masih kecil dalam industri seni.
“Keutamaan saya masih lagi dalam bidang nyanyian meskipun sibuk berlakon dan mengacara. Sebagai seorang penyanyi, sudah tentu saya kena ada karya yang baik.
“Kalau boleh saya mahu sentiasa keluarkan banyak lagu walaupun kita tidak tahu rezeki sesuatu lagu itu macam mana. Untuk kekal relevan, saya kena ada karya yang baik untuk pendengar.
“Mungkin nama saya masih lagi kecil dalam industri ini. Sebelum ini pun saya banyak menyanyi di TikTok sahaja. Mungkin ada yang ingat, ada juga yang lupa,” jelasnya.
Rezeki Adalah Pinjaman
Selain menyanyi, penyanyi yang berusia 32 tahun itu juga dilihat aktif menjadi wajah utama atau duta sesetengah jenama tempatan.
“Alhamdulillah, untuk segala rezeki itu. Saya bersyukur. Tetapi, rezeki itu juga membuatkan saya sentiasa beringat kerana kita tidak boleh jangka bila Tuhan mahu bagi dan ambilnya semula.
“Sebelum ini juga saya pernah berdepan dengan fasa sibuk yang sama sewaktu single Hati-Hati muncul. Namun, komitmen yang saya perlu bagi kini pula berbeza,” kongsinya.
Tambah Amira, dia juga mempunyai perancangan untuk mengadakan showcase khas untuk menghargai peminatnya yang setia menyokong kariernya sepanjang 12 tahun dalam industri seni.
“Itu adalah salah satu impian saya yang saya nak sangat buat tetapi tidak berani untuk teruskan. Saya bimbang kalau saya buat orang tidak datang,” katanya.
“Jika tiada apa-apa halangan, Insya-Allah showcase itu akan berlangsung pada bulan Ogos ini. Namun, segala persiapan masih lagi di peringkat awal. Nanti saya akan umumkan tarikhnya,” ujarnya.-UTUSAN