‘Salah atau tidak, tetap minat Naim Daniel’ - Utusan Malaysia

‘Salah atau tidak, tetap minat Naim Daniel’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontroversi melanda penyanyi dan pelakon, Naim Daniel membabitkan kes amang seksual tidak menghalang peminat untuk hadir dan memberikan sokongan kepada selebriti itu semasa konsert pada Ahad. 

Menerusi video yang dimuat naik syarikat pengurusan, XO House, Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, dilihat memakai sut lengkap berwarna biru sekali gus tampil pertama kali di depan khalayak selepas terpalit dengan isu tersebut sejak awal bulan ini. 

Kehadiran Naim memeriahkan XO House Concert 3.0: School of Galau disambut tepukan dan sorakan peminat. Malah, rakan artis di bawah pengurusan yang sama juga menangis dan sebak melihat kemunculan penyanyi itu.

Semasa konsert malam tadi, Naim menyanyikan rangkaian lagu daripada album Lelaki Gila diikuti lagu Mencintaimu, Mengenangmu dan lagu Seni Berdamai Dengan Takdir yang kini tular di TikTok. 

Mengintai ruangan komen, rata-rata memberikan sokongan kepada penyanyi itu selain berjanji akan tetap meminati penyanyi itu sepanjang kes dibicarakan. 

“Cuba bayangkan kalau ini persembahan Naim yang terakhir di bawah pengurusan XO House,” tulis satu komen. 

“Dia salah atau tidak, memang akan minat Naim Daniel,” tulis komen yang lain. 

“Setiap orang ada aib dan silap masing-masing, dia tetap kena teruskan hidup. Berilah sokongan untuk kesejahteraan mental dia,” tulis peminat. 

Terdahulu, Naim menghadapi pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada 19 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Mahkamah turut menetapkan 18 Ogos untuk sebutan semula kes. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN