PETALING JAYA: ‘Saya menggigil dan tidak berdaya apabila lihat lantai seperti kolam darah namun terus hubungi polis.”
Demikian kata seorang saksi yang melihat kejadian dua lelaki terbabit ditembak mati di hadapan pusat beli-belah di Cheras dekat sini pada 12.15 tengah malam, semalam.
Saksi berusia 35 tahun yang enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian dia menemani majikannya pergi ke pusat beli belah itu untuk menghadiri jamuan makan malam.
“Ketika berada di dalam bangunan itu, saya dan yang lain terdengar bunyi tembakan dan terus bergegas ke lokasi di tingkat bawah.
“Ketika itu saya lihat tiada lagi yang menghubungi polis sebaliknya mereka hanya memerhati menyebabkan saya terus menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dia melihat salah seorang terbaring tidak bergerak berlumuran darah manakala seorang lagi dalam keadaan cedera parah selepas ditembak.
“Sampai kini saya saya masih terbayang kejadian itu dan tidak dapat melupakan apa yang terjadi.
“Masih bermain di fikiran melihat salah seorang ketika itu masih bernafas namun dalam keadaan kritikal namun rasa diri tidak berdaya dan mampu menolongnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua lelaki maut selepas ditembak sekumpulan suspek di hadapan lobi sebuah kompleks beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.15 tengah malam ketika kedua-dua mangsa dilaporkan sedang menuju ke arah kereta yang diparkir di pekarangan pusat beli-belah berkenaan.
Suspek melarikan diri menaiki kereta Perodua Alza selepas melepaskan tembakan dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua kejadian tembak yang berlaku dalam tempoh empat hari di sekitar ibu negara dipercayai akibat perseteruan antara suspek dan mangsa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kedua-dua kes-kes jenayah tembak yang berlaku adalah akibat masalah yang berlaku di luar kontinjen Kuala Lumpur dan dibawa ke sini. – UTUSAN










