PETALING JAYA: Kira-kira 10 das tembakan dipercayai dilepaskan oleh suspek terhadap tiga lelaki ketika makan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields dekat sini, lantas menyebabkan seorang maut manakala dua lagi cedera.
Saksi yang ingin dikenali sebagai Letchumi mendakwa, insiden berlaku antara pukul 10.30 sehingga 10.50 malam, ketika dia sedang berbual dengan seorang pelanggan di salon miliknya di tingkat atas lokasi kejadian.
“Masa itu saya berada di luar kedai, dekat kaki lima bahagian atas dan tiba-tiba saya dengar bunyi kuat, macam letupan, saya ingat ada orang main mercun, tapi saya fikir perayaan apa pula.
“Kemudian saya jenguk ke bawah dan ternampak orang berlindung bawah meja dan ketika itu saya tahu ada benda serius berlaku,” katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian itu, tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama beberapa rakan sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal.
Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti motif kejadian dan suspek terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kata Letchumi, suasana bertukar panik sehingga ramai orang lari lintang-pukang cuba menyelamatkan diri.
Ujarnya, malah ada juga yang masuk ke dalam salonnya untuk berlindung kerana ketika itu banyak premis lain sudah ditutup.
“Ada yang lari naik ke tingkat atas jadi saya memanggil mereka untuk berlindung dalam kedai bersama pelanggan saya yang ketika itu berada dalam ketakutan.
“Kemudian saya buat panggilan kepada pihak polis, saya tidak nampak penembak itu tetapi saya sempat nampak mangsa yang ditembak cuba melarikan diri,” jelasnya. – UTUSAN