Sabah terima pengiktirafan tertinggiThe IBR ASEAN Awards 2025

Sabah terima pengiktirafan tertinggi The IBR ASEAN Awards 2025

HAJIJI Noor bersama pengurusan kanan ConocoPhillips Malaysia yang membuktikan dasar mesra perniagaan kerajaan negeri Sabah terhadap pelabur asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sabah terus mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai Negeri Paling Cemerlang Malaysia bagi tahun 2024 menerusi The IBR ASEAN Awards 2025 yang dianjurkan oleh International Business Review (IBR).

Pengiktirafan itu diumumkan oleh Sekretariat The IBR ASEAN Awards 2025 yang turut menobatkan Negeri Sembilan sebagai Negeri Paling Progresif Malaysia bagi tahun yang sama.

Anugerah berprestij tersebut diberikan berdasarkan penilaian terperinci oleh Panel Penilai Profesional yang terdiri daripada tokoh-tokoh ternama pelbagai bidang.

Mereka menilai pencapaian negeri-negeri berdasarkan data dan maklumat hasil kajian menyeluruh oleh Expert Advisors, sebuah syarikat perunding yang menjalankan penilaian terhadap prestasi kerajaan negeri-negeri di seluruh negara.

Menariknya, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran, The IBR ASEAN Awards 2025 memberi penghargaan kepada kerajaan negeri, selain tokoh korporat bagi mengiktiraf kepimpinan cemerlang serta pencapaian luar biasa di peringkat negeri.

KEPIMPINAN BERWAWASAN DAN PENCAPAIAN LUAR BIASA

Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menerima penghormatan tertinggi hasil pelaksanaan kerangka pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggariskan empat tonggak utama pentadbiran beliau.

Ia termasuk memperjuangkan hak Sabah, memimpin dengan integriti dan kecekapan, membangunkan negeri berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta mengekalkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di Sabah.

Antara pencapaian utama mendorong pengiktirafan tersebut termasuk peningkatan mendadak geran khas Persekutuan daripada hanya RM26 juta pada 2022 kepada RM600 juta pada 2025.

Sabah turut memperoleh manfaat besar hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) bersama PETRONAS yang memberi negeri itu pegangan lebih besar dalam hasil minyak dan gas, sekali gus menyumbang bayaran melebihi RM3 bilion kepada kerajaan negeri pada 2023.

Pelaburan asing ke Sabah juga melonjak ketara daripada RM132 juta pada 2023 kepada lebih RM1 bilion pada 2024.

Selain itu, sektor pelancongan juga menyaksikan lonjakan dengan ketibaan pelancong asing meningkat kira-kira 47 peratus, sekali gus menyumbang kepada hasil negeri.

Projek mega Lebuhraya Pan-Borneo juga menunjukkan kemajuan memberangsangkan kerana menghubungkan bandar-bandar utama dan kawasan pedalaman di negeri itu.

PELABURAN, PERINDUSTRIAN DAN ALAM SEKITAR

Ketua Panel Hakim The IBR ASEAN Awards 2025, Datuk Seri Azman Ujang menyifatkan Sabah sebagai negeri yang mencerminkan potensi luar biasa dari segi pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, minat pelabur asing terhadap Sabah semakin meningkat disebabkan faktor kestabilan dan perancangan strategik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Ini terbukti apabila nilai pelaburan asing melonjak drastik daripada RM132.7 juta pada 2023 kepada RM1.07 bilion pada 2024,” katanya.

Azman yang juga Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) telah mencapai kadar pengisian tertinggi dalam sejarah, dengan 90 peratus kawasan dipenuhi dan 288 pelabur aktif beroperasi di kawasan perindustrian tersebut.

“Dari sudut pembangunan industri, Sabah turut mencatatkan kadar pertumbuhan sektor pembuatan tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 4.4 peratus pada 2023, sekali gus mencerminkan kemajuan kukuh sektor ekonomi negeri,” katanya.

Azman berkata, Ketua Menteri Sabah turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan sebagai aset utama dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dan sosial negeri.

“Sabah berjaya mengekalkan kawasan hutan simpan seluas 4.6 juta hektar, merangkumi 62 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri, yang kini diisytiharkan bebas daripada sebarang aktiviti pembalakan.

“Pelbagai strategi jangka panjang turut sedang dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun akan datang ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang lebih mesra alam dan mampan.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan negeri Sabah dalam membangunkan kesejahteraan rakyat secara holistik dan mampan,” katanya.


MAJLIS GALA DI KOTA KINABALU

Majlis penyampaian The IBR ASEAN Awards 2025 akan diadakan secara rasmi pada 19 Julai 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Ketua Menteri Sabah dijangka hadir sebagai tetamu kehormat dalam majlis penuh gemilang yang bertemakan “REIMAGINING ASEAN”, bersempena dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Syarikat-syarikat masih boleh menghantar pencalonan sebelum tarikh tutup pada 30 Jun melalui pautan berikut:

Calonkan organisasi anda:
https://forms.gle/gAefBeVwAsdeU54S8

Untuk maklumat lanjut, hubungi Sekretariat The IBR Asean Awards 2025 melalui WhatsApp: 
https://wa.link/jxaxsn

Atau hubungi kami di talian:
+6012-4328963 atau +6012-8208963. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN