PETALING JAYA: Penerbit tempatan disaran melakukan rundingan dengan pihak pawagam sekiranya tayangan filem mereka dihentikan kerana gagal mendapat sambutan dalam tempoh tiga hari awal tayangan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, rundingan tersebut boleh dianggap jalan terakhir untuk memastikan tempoh tayangan filem dilanjutkan.
“Tempoh tayangan dua minggu menerusi Skim Wajib Tayang hanya diberikan kepada filem yang memperoleh 15 peratus daripada jumlah kerusi dalam panggung untuk tiga hari pertama tayangan.
“Sekiranya gagal mencapai syarat itu, penerbit boleh berunding terus dengan pihak pawagam untuk menambah hari tayangan. Inilah perkara yang mungkin ramai peminat dan pembikin filem baharu tak faham.
“Untuk dapat dua minggu tayangan, mereka kena pastikan syarat untuk tiga hari awal tercapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Azmir mengulas mengenai nasib filem Gantung: Muskeeter Code terbitan Neddo Wokes yang hanya ditayangkan seminggu di pawagam.
Tambah Azmir lagi, menerusi Skim Wajib Tayang, pihaknya sudah berusaha memberi tarikh tayangan serta jumlah lokasi panggung seperti diminta.
“Selalunya, pihak panggung akan beri peluang untuk berbincang dan mempertimbangkan perancangan yang diusulkan penerbit.
“Cuma mungkin untuk filem tersebut peratusannya terlalu rendah atau pihak penerbit tidak mengusulkan sebarang cadangan menyebabkan filem mereka ditarik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azmir turut mencadangkan penerbit filem baharu melantik pengedar yang berpengalaman untuk mengesyorkan lokasi panggung sesuai dengan sasaran filem tersebut.
“Proses untuk membuat filem satu perkara, namun mereka juga perlu mempunyai kemahiran terutamanya bahagian pemasaran dan pengedaran filem.
“Pengedar akan memberi cadangan lokasi tayangan yang mungkin tidak banyak, tapi sesuai dengan sasaran penonton filem tersebut.
“Selain itu mereka juga boleh berbincang dengan pihak panggung. Mungkin panggung popular cuma GSC atau TGV, tapi di Malaysia kita mempunyai lebih 15 pengusaha pawagam.
“Cadangan lain yang boleh saya berikan ialah penerbit filem tersebut boleh berbincang dengan Persatuan Penerbit Filem Malaysia di mana ahlinya sangat berpengalaman bagi mendapatkan khidmat nasihat,” tambahnya.
Terdahulu, penerbit filem Gantung: Muskeeter Code, Nadia Mohammad Hatta meluahkan kekecewaan di media sosial apabila naskhah terbitannya ditamatkan tayangan pada Khamis.
Filem tersebut yang diadaptasi daripada novel dengan judul sama mengisahkan persahabatan empat sekawan Gibbs, Ray, Troll, dan KJ di sebuah sekolah elit.
Naskhah tersebut ditayangkan di pawagam bermula 5 Jun lalu. -UTUSAN