Rujuk lapan persoalan bukan untuk dapat kekebalan peribadi 

Rujuk lapan persoalan bukan untuk dapat kekebalan peribadi 

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakannya yang membuat permohonan merujuk lapan persoalan berkaitan kekebalan seorang Perdana Menteri daripada dikenakan sebarang saman sivil.

Anwar berkata, permohonan itu bukan tentang usaha untuk mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang.

Katanya, ia berkaitan dengan integriti sistem Perlembagaan negara dan keperluan memastikan bahawa jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin bersifat strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi.

“Saya kekal komited sepenuhnya kepada keluhuran undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah pemerintahan demokratik.

“Proses undang-undang akan diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan kekebalan seorang Perdana Menteri daripada dikenakan sebarang saman sivil.

Rujukan persoalan itu berkait kes saman oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.

Serangan seksual itu didakwa berlaku pada Julai 2021 iaitu hampir dua tahun sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Hakim Roz Mawar Rozain ketika membacakan penghakiman ringkasnya menyatakan, dakwaan bahawa sebarang tindakan saman boleh menjejaskan keupayaan seorang Perdana Menteri men­jalankan tugas eksekutif adalah sesuatu yang tidak boleh dipertahankan.

Tambah hakim itu, permohonan Anwar tidak mengandungi sebarang isu yang membolehkan persoalan undang-undang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN