NARATHIWAT (THAILAND): Ahli Parlimen Kawasan 5 Narathiwat, Kamonsak Leewamoh yang selamat dalam cubaan bunuh di hadapan rumahnya di Daerah Bacho di sini, awal pagi ini, menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai konflik peribadi dengan mana-mana pihak.
Katanya, kejadian tembakan terhadap kenderaan dinaikinya kira-kira pukul 1 pagi ini berlaku dengan pantas sehingga beliau tidak sempat bertindak balas.
“Saya percaya tindakan itu bertujuan membunuh. Saya tidak fikir mempunyai sebarang musuh atau konflik peribadi dengan mana-mana pihak. Saya telah memberi keterangan awal kepada pihak berkuasa dan terpulang kepada mereka untuk menentukan sama ada terdapat sebarang masalah antara saya dan pihak lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menceritakan lebih lanjut, Kamonsak, 59, yang lebih dikenali sebagai Wan Johan dalam kalangan penduduk Selatan Thai berkata, beliau berada di Parlimen Thailand di Bangkok, semalam bagi memilih Perdana Menteri baharu Thailand.
Katanya, apabila semuanya selesai, beliau menempah penerbangan Vietjet untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada pukul 8 malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai pukul 9 malam yang mana dua orang bawahannya sedang menunggu.
“Kami terus pulang dan dalam perjalanan kami berhenti makan di Daerah Channa serta solat di sebuah stesen minyak di Thepha, di Wilayah Songkhla sebelum meneruskan perjalanan sekitar tengah malam.
“Kira-kira pukul 1 pagi kami tiba di Bacho. Ketika memberi isyarat untuk membelok ke laluan masuk rumah, kami terdengar bunyi tembakan, walaupun tidak tahu arahnya. Pemandu adalah orang pertama yang terkena tembakan, diikuti rentetan tembakan dari bahagian hadapan kereta.
“Dalam keadaan yang pantas saya yang duduk di kerusi tengah bahagian penumpang belakang terpaksa menundukkan kepala. Pemandu saya kemudian memberhentikan kenderaan di tepi jalan,” katanya.
Menurut Kamonsak, beliau kemudian menghubungi keluarganya dan meminta mereka membuka pintu pagar sebelum menyelamatkannya dan membawa pemandu serta sepupunya ke Hospital Bacho untuk rawatan kecemasan.
Terdahulu, Kamonsak dilaporkan terselamat dalam cubaan bunuh di hadapan rumahnya di Mukim Bacho. Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, seorang anggota polis yang juga sepupu Kamonsak, Sarjan Polis Harirak Heemmina, 43, dan pemandu, Uchalam Kohloh, 55, cedera parah terkena beberapa das tembakan.
Difahamkan, ini adalah kali kedua cubaan membunuhnya yang juga seorang pengamal undang-undang dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand. – UTUSAN










