KOTA BHARU: Suasana di saat akhir menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pasar Siti Khadijah di sini, hari ini tidak semeriah kebiasaan apabila jualan daging tempatan dan ayam segar dkurang rancak.
Keadaan itu dipercayai berpunca daripada orang ramai yang membuat pembelian awal semalam selepas menjangkakan sambutan Aidilfitri jatuh pada hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun pasar masih dikunjungi pelanggan, jumlah pembelian menurun berbanding sehari sebelumnya yang menyaksikan kesesakan luar biasa.
Peniaga daging, Adam Mahmud, 36, berkata, hanya dua ekor lembu dijual hari ini berbanding empat semalam yang habis seawal pagi.
“Semalam memang luar biasa, daging daripada empat ekor lembu habis dijual dari pukul 7.30 pagi hingga petang. Hari ini jualan perlahan sedikit, tetapi masih ada pelanggan datang membeli. Harga kekal RM28 sekilogram,” katanya.
Situasi sama turut dirasai peniaga ayam, Zainun Abdullah, 53, apabila jualan hari ini merosot hampir separuh.
“Kalau semalam saya jual 200 ekor ayam, hari ini hanya 100 ekor. Itu pun saya kurangkan stok sebab bimbang tidak habis. Semalam pasar sesak, hari ini lebih terkawal tetapi ayam tetap habis sekitar pukul 11 pagi,” katanya.
Fenomena ‘serbu awal’ itu jelas memberi kesan kepada momentum jualan saat akhir, yang lazimnya menjadi waktu paling sibuk bagi peniaga bahan mentah menjelang Aidilfitri.
Bagaimanapun, kehadiran berterusan pelanggan menunjukkan keperluan terhadap bekalan segar masih tinggi, meskipun kebanyakan persiapan utama telah dilakukan lebih awal. – UTUSAN










