KUALA LUMPUR: Lebih RM48.64 juta dana sosial berjaya diselamatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada jenayah penipuan termasuk tuntutan palsu sejak 2020 hingga April lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sebanyak 679 kes disyaki penipuan faedah untuk pelbagai skim disiasat dalam tempoh sama sehingga membawa kepada keputusan menggantung 383 kes bersamaan 56.5 peratus.
Katanya, penipuan tersebut merangkumi pelbagai skim termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Skim Keilatan serta Program Saringan Kesihatan Pencarum.
“Kejayaan ini dicapai hasil siasatan sehingga membawa kepada keputusan menggantung 383 kes atau 56.5 peratus daripada keseluruhan yang disiasat, sekali gus mencerminkan tadbir urus dan tata kelola yang tegas mampu memberi impak besar terhadap kecekapan sistem.
“Kita juga komited untuk membanteras sindiket tuntutan palsu kerana mereka telah menyalahgunakan sistem keselamatan sosial bagi melindungi mereka yang terdedah dengan risiko,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam katanya dalam ucaptama Seminar Mengenai Penipuan, Pengelakan dan Ralat dalam Tuntutan Jaminan Sosial dan Insurans di sini semalam.
Bagi penipuan faedah, Steven Sim berkata, jumlah kerugian mencecah RM2.1 juta direkodkan sepanjang 2024 yang berpunca daripada tuntutan tidak sah.
“Dalam usaha berterusan mengekang ketirisan dana, Perkeso juga menyemak semula Elaun Layanan Sentiasa (ELS) bagi memastikan kelayakan penerima disahkan secara berterusan.
“Sepanjang tempoh dari 2020 hingga April lalu, sebanyak 509 kes ELS disemak, dengan 117 kes atau 22.9 peratus dicadangkan digantung, sekali gus menyaksikan penyelamatan dana keselamatan sosial untuk jangka panjang menjangkau lebih RM12.2 juta,” katanya.
Beliau menegaskan jenayah penipuan adalah pelanggaran perundangan sehingga berupaya menghakis kepercayaan awam terhadap institusi yang menjaga kebajikan pekerja.
“Cabaran penipuan kini bersifat global, didorong oleh mobiliti buruh dan perkhidmatan rentas sempadan.
“Justeru, Malaysia perlu mengamalkan rangka kerja pencegahan menyeluruh meliputi pembaharuan undang-undang, penguatkuasaan tegas, inovasi digital dan komunikasi secara telus,” katanya.