KUALA LUMPUR: Pengukuhan kepada sesuatu perubahan atau reformasi perlu disokong kuat oleh semua pihak di samping menerapkan kefahaman antara satu sama lain.
Mengambil contoh kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen Pakatan Harapan (PH) sahaja tidak mencukupi dalam menjayakan reformasi dan perubahan yang dihasratkan memandangkan komponen itu hanya memiliki 82 kerusi Parlimen.
“Kalau kamu bercakap mengenai PH, kami ada 82 kerusi di Parlimen. Tidak cukup malah ia bukan majoriti mudah. Jadi gabungan parti ini perlu bekerja bersama.
“Namun kita bertuah, kerana UMNO, Barisan Nasional (BN), kini sudah bersama menjadi salah satu parti teras yang komited terhadap pembaharuan dan menyokong (perubahan) ini. Tetapi kita tidak boleh ambil mudah,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF University, Prof. Emeritus Datuk Dr. Azmi Omar.
Perdana Menteri turut berkata, beliau tetap akan melakukan yang terbaik dalam setiap pembaharuan yang dilaksanakan.
“Bolehkah kita melakukan pembaharuan besar-besaran ini dalam setahun, atau dua tahun, atau tiga tahun? saya tak tahu. Saya tidak mempunyai semua jawapan. Tapi apa yang saya tahu, saya tidak akan berpatah balik. Apa yang saya pasti setiap bulan dan setiap tahun, mesti ada perkembangan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar yang Menteri Kewangan berkata, usaha melaksana pembaharuan itu memerlukan masa kerana ia melibatkan proses rundingan dan perbincangan.
“Kerana proses rundingan, perbincangan, ‘engagement’ adalah penting. Mengapa saya kekal pada tahap ini? Kerana ia (perubahan itu) relevan dalam apa yang kita katakan,” katanya.
Meskipun tidak dinyatakan secara jelas, kenyataan Perdana Menteri seolah-olah jawapan kepada pemimpin PKR tertentu yang mulai mempersoal usaha dan reformasi PKR yang dikatakan masih samar untuk dilaksanakan.
Semalam, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menerusi satu catatan di Facebook mengumumkan, beliau bercuti dua minggu di Perancis untuk berehat bersama keluarga sambil menilai masa depan politiknya.
Wong turut merenung kembali usaha-usaha reformasi kerajaan yang menurutnya kelihatan seolah-olah tiada hasil yang ketara. – UTUSAN