PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) bagi membantu kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sumbangan tersebut merupakan hasil daripada perintah mahkamah terhadap penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo berhubung susulan saman fitnah yang difailkan Razarudin.
Ia merupakan sumbangan kedua Razarudin kepada TAWP selepas menyumbangkan RM10,000 pada 24 Februari lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan peribadi beliau sebanyak RM15,000.
Beliau berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan yang dilaksanakan oleh TAWP dalam membantu kebajikan pegawai, anggota dan anak-anak polis yang memerlukan.
“Dana seperti itu amat penting dalam meringankan beban kewangan golongan yang memerlukan terutamanya dalam kalangan PDRM,” katanya.
Sumbangan berbentuk itu diserahkan kepada Pengarah Pengurusan, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid di Bukit Aman di sini hari ini.
Pada Februari lalu, Razarudin menyumbangkan kira-kira RM10,000 iaitu hasil kos guaman yang diperintahkan oleh mahkamah terhadap Papagomo kepada Razarudin dalam kes saman fitnah pada 10 Januari lalu.
Menurut saman itu, Razarudin mendakwa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan yang melabelkan plaintif sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada anak-anak warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang cemerlang dalam akademik, menghadapi masalah kesihatan dan mereka yang memerlukan bantuan kewangan. – UTUSAN