SHAH ALAM: Perebutan kawasan sekuriti di tapak perumahan dipercayai motif kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Balai Polis Meru, Klang pada Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua suspek terlibat mengenali satu sama lain dan terbabit dalam kumpulan kongsi gelap.
Susulan itu, katanya, polis berjaya menahan kesemua lapan suspek lelaki tempatan berusia 28 hingga 44 tahun dipercayai terlibat dalam kes itu.
“Tangkapan pertama melibatkan lima suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang telah direman tiga hari sehingga 5 Mac sebelum dilanjutkan sehari lagi.
“Tangkapan kedua melibatkan dua lelaki berusia 39 dan 44 tahun dan telah direman tiga hari sehingga 6 Mac, manakala tangkapan ketiga membabitkan seorang lagi individu yang turut direman tiga hari sehingga 7 Mac,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati sebahagian daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah berat lampau merangkumi kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan bunuh), Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan) selain merusuh dengan senjata dan pecah rumah.
Jelasnya, seorang daripada suspek juga merupakan individu dikehendaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang daripada suspek juga didapati positif dadah jenis benzo.
“Polis telah merampas satu topi keledar dan sebatang besi paip yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut,” ujarnya.
Tegas Shazeli, pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang mencabar polis dan ketenteraman awam.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Akta Polis 1967 selain Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958,” ujarnya.
Media semalam melaporkan lima lelaki dipercayai terbabit dalam insiden pergaduhan di Balai Polis Meru, Klang di sini ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.40 malam ketika tiga lelaki hadir ke balai berkenaan untuk membuat laporan polis.
“Secara tiba-tiba lima lelaki lain datang ke lokasi sebelum tercetus perbalahan antara kedua-dua pihak.
“Dalam kejadian itu, seorang daripada kumpulan lima lelaki terbabit memukul pengadu menggunakan sebatang besi. Kekecohan turut menyebabkan sebuah televisyen di balai polis mengalami kerosakan sebelum semua suspek melarikan diri,” katanya. – UTUSAN







