Rasa ‘benda’ itu hadir, minta ustaz ‘dinding’ saya - Utusan Malaysia

Rasa ‘benda’ itu hadir, minta ustaz ‘dinding’ saya

SELANGOR 21 MEI 2025 - Aeril Zafrel pada D’Ayu Pictures Gathering di hotel The Confetti KL, Seri Kembangan. / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMA sebenarnya Aeril Zafrel hiatus daripada kerjayanya sebagai pelakon. Dia dilihat lebih selesa berada di belakang tabir sebagai penerbit atau usahawan popular produk kosmetik bersama isteri, Wawa Zainal. Hanya kali ini sahaja, Aeril dilihat menghiasi pawagam dengan naskhah seramnya, Laknat, yang bakal menemui penonton Jun ini.

Selain berita indah tentang keluarga dan perniagaan, beberapa cerita tidak manis didengar membabitkan pelakon kelahiran Johor ini. Tidak manis yang dimaksudkan bukanlah bahang kontroversi tetapi apabila ada individu tidak bertanggungjawab pernah menghantar santau dan sihir. Namun mujur segalanya cepat disedari dan mereka sekeluarga segera mendapatkan bantuan pakar perubatan Islam.

Bukan tentang sihir dan santau, baru-baru ini Aeril sempat bercerita secara eksklusif satu lagi kejadian misteri yang dialaminya apabila ada ‘sesuatu’ terasa mengekorinya semasa membacakan sebuah mantera ‘hidup’. Jawablah Aeril!

Ada dengar cerita, katanya Aeril mengalami kejadian aneh selepas membaca sebuah mantera, betulkah?

Ya, sebenarnya semua itu terjadi ketika saya sedang dalam penggambaran filem terbaharu. Saya dimaklumkan, skrip mantera yang perlu saya baca itu adalah mantera yang betul.

Ada banyak risiko sebenarnya, antaranya ketika saya baca mantera itu memang ada seorang kru dirasuk. Tapi pihak produksi sudah buat persiapan ada seorang ustaz di set yang tolong ubatkan.

Aeril pula, sebagai yang ‘memanggil’ makhluk itu, ada tak alami apa-apa kejadian tidak menyenangkan?

Sebenarnya sebelum penggambaran bermula, saya ada buat persediaan iaitu bertemu ustaz untuk dapatkan ‘pendinding’. Ustaz minta saya baca dan amalkan beberapa ayat. Dia juga tenangkan saya dengan katakan ‘benda’ itu tidak boleh melukai atau mengawal kita. Mereka juga ada had.

Tipulah jika tidak kena apa-apa. Ada satu ketika, memang rasa ‘benda’ itu hadir bersama saya. Memang ada tempat yang rasa menyeramkan.

Makhluk itu ada juga beri petanda tidak mengizinkan kami buat penggambaran di satu kawasan. Jadi, kami terpaksa pindah ke lokasi yang lebih aman.

Maksudnya, mantera itu agak bahaya?

Mungkin mantera yang dibaca itu agak keras. Tapi saya tidak pasti, mungkin ada yang sangka saya merepek. Ada juga beberapa adegan yang dilakonkan dalam hutan. Cuma saya harap tidak ada yang anggap saya sesat sebab baca mantera. Sebagai Muslim, saya tahu batas saya sampai mana.

Bila sudah berisiko begitu, apa yang buatkan awak mahu teruskan juga lakonan? Elok-elok berniaga, mengapa mahu kembali ke lakonan untuk naskhah Laknat?

Semua ini sebab pengarahnya, Saw Teong Hin. Siapa yang tidak tahu kehebatannya menghasilkan filem Puteri Gunung Ledang. Cuma mungkin ini filem terakhir saya untuk kali ini. Bukanlah saya mahu berhenti berlakon, tapi buat sementara waktu, ini filem terakhir.

Sebab saya mahu fokus kepada perniagaan kerana menjadi pelakon memerlukan komitmen saya untuk berada berjam-jam lamanya di set penggambaran.

Selain bisnes, ada lagi faktor lain yang buatkan awak meletakkan lakonan bukan lagi sebagai keutamaan?

Saya tidak rela korbankan masa bersama anak-anak. Saya rasa serba salah jika anak membesar tanpa saya. Saya fikir betapa ruginya jika hilang momen indah anak-anak membesar.
Anak saya yang bongsu pun sudah berumur 4 tahun. Cuma saya perlahan-lahan cuba kembali kepada dunia lakonan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN