KUALA LUMPUR: Rantaian bekalan di seluruh dunia kini berdepan tekanan ekoran gelombang perlindungan perdagangan di atas semangat nasionalisme yang semakin meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini sekali gus memberi isyarat agar peralihan ke arah dunia pascaglobalisasi dengan mengurangkan kadar kebergantungan antara satu sama lain.
Katanya, gangguan yang memperlihatkan kesan paling ketara melibatkan bidang tenaga dan iklim dengan melibatkan dasar yang memecah belah serta persaingan strategik, walaupun keselamatan tenaga masih tidak dapat dicapai.
“Bagaimanapun kita di ASEAN tetap berpegang teguh pada keyakinan bahawa diplomasi mengatasi autokrasi dan persaingan yang sihat boleh wujud seiring dengan hasil yang saling menguntungkan.
“Visi kita untuk ASEAN 2025 mencerminkan keyakinan ini, dengan usaha memperkukuhkan keutuhan dan perpaduan rantau ini serta hubungan dengan negara sahabat.
“Ini menjadi semakin penting ketika berdepan perlindungan perdagangan yang meningkat dan perubahan geopolitik,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Energy Asia 2025, di sini hari ini. – UTUSAN