PETALING JAYA: Peristiwa menyambut kelahiran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, 41 tahun lalu kekal dalam ingatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Ia disifatkan baginda sebagai kenangan paling bermakna di saat menyambut kelahiran putera sulungnya menerusi perkongsian bersempena ulang tahun Tunku Mahkota Ismail, hari ini.
“Ketika itu 1 Syawal, hari raya puasa, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim) sedang menziarahi ibu saudaranya dan keluarga mereka apabila baginda dimaklumkan bahawa saya selamat melahirkan Tunku Ismail, putera sulung.
“Sebagai ibu bapa, buat kali pertama kami menyambut kelahiran putera sulung dengan penuh kegembiraan serta bersyukur kepada Allah Subhanahuwataala. Alhamdulillah.
“Banyak kenangan manis semasa zaman kanak-kanaknya, seiring dia membesar bersama adik-adiknya,” titah Raja Zarith Sofiah dalam hantaran di platform Facebook, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Raja Zarith Sofiah turut menyingkap kenangan masa kecil Tunku Mahkota yang begitu meminati permainan video bola sepak FIFA di PlayStation.
Baginda bertitah, tidak menyangka minat anakandanya itu menjadi kenyataan dalam dunia nyata apabila Tunku Mahkota Ismail kini menjadi pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim. – UTUSAN










