‘Raja Nurfatimah amanah jaga rahsia, prihatin kebajikan anak seni’ - Utusan Malaysia

‘Raja Nurfatimah amanah jaga rahsia, prihatin kebajikan anak seni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Pelakon dan pengacara, Didie Alias, 51, menyifatlan Penolong Pengarang Berita Hiburan Berita Harian, Raja Nurfatimah Mawar Mohamed, 49, sebagai wartawan yang berintegiriti dan amanah menjaga rahsia.

Malah ujar Didie, sepanjang empat dekad bergelar anak seni, Allahyarham mudah didekati kerana sikapnya yang mementingkan hubungan baik sesama rakan industri.

“Sepanjang 40 tahun saya dalam industri ini, saya rasa tak ada rahsia yang

pernah dia keluarkan untuk orang baca. Apa yang perlu dikeluarkan saja dia keluarkan.

“Yang lain dia simpan. Dia orang baik, itu sebab Tuhan sayang dia,” katanya.


Didie ditemui Utusan Malaysia Unit Forensik, Hospital Kajang, pada Ahad.

Tambah Didie, dia merancang untuk mengadakan majlis tahlil sebagai mengenang bakti Allahyarham ketika hayatnya.

“Terima kasih, Raja Mawar. InsyaAllah kita doakan Allahyarham. InsyaAllah saya akan buatkan tahlil untuk dia dekat masjid rumah saya,” katanya.

Turut mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham ialah penyanyi veteran, Datuk DJ Dave yang menyifatkan Allahyarham seorang yang sangat mengambil berat tentang perjuangan dan kebajikan penggiat seni.

“Arwah seorang yang sangat prihatin terhadap bidang seni suara. Kalau ada apa-apa masalah saya akan menghubunginya dan dia akan aturkan pertemuan.

“Setiap majlis melibatkan yayasan kebajikan, dia akan hantar wakil wartawan untuk buat liputan,” katanya yang sudah mengenali Allahyarham sejak 20 tahun lalu.

Terdahulu, Allahyarham Raja Nurfatimah meninggal dunia di kediamannya di Sungai Long, di sini selepas mengadu sakit dan sukar bernafas kira-kira jam 2 petang, semalam.

Pemergian Raja Nurfatimah merupakan kehilangan besar terutama kepada pengamal industri seni.

Jenazah Allahyarham Raja Nurfatimah dibawa ke Hospital Kajang, bagi menjalani postmortem.

Jenazah Allahyaham Raja Nurfatimah kemudian dibawa ke kampung halaman di Kuala Terengganu, Terengganu untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Haji Kadir Pasir Panjang. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN