PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah hilang keyakinan terhadapnya sebagai orang nombor dua dalam PKR dan Menteri Ekonomi.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, situasi tersebut mendorong beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sebaik sahaja tamat Pemilihan PKR 2025 pada hujung bulan lalu.
“Apabila Nurul Izzah Anwar bertanding, ia mendapat restu Presiden dan Perdana Menteri. Bila sudah ada restu presiden itu, isyaratnya jelas bahawa beliau sudah hilang keyakinan kepada saya sebagai Menteri Ekonomi.
“Bila sudah hilang kepercayaan daripada Perdana Menteri dan mandat daripada parti, akhirnya kalau saya memilih untuk kekal, saya akan jadi ‘lame duck minister’ (menteri pegang jawatan tetapi pengaruhnya tidak kuat)
“Menteri yang sudah hilang keyakinan daripada Perdana Menteri dan (jawatan) menteri ini, kalau saya nak buat kerja, dia akan heret kementerian saya sekali,” katanya dalam Podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ malam tadi.
Pada 27 Mei lalu, Rafizi mengumumkan pengunduran dirinya daripada Kabinet berkuat kuasa Selasa lalu selepas tewas dalam pemilihan parti tersebut
Mengulas dakwaan kononnya merajuk, Rafizi berkata, alasan itu hanya direka oleh pihak tertentu mahu menyerang peribadinya selepas tiada alasan lain dilihat lebih rasional.
“Dakwaan merajuk kepada saya ini pelik jugalah. Merajuk kalau tengok kepada makna iaitu kalau tak dapat sesuatu. Kes saya lain, saya memang menteri dan saya tak mahu sesuatu.
“Jadi tidak timbul soal merajuk. Isu ini kembali kepada soal prinsip. Letak jawatan mesti berasaskan sesuatu yang lebih besar,” katanya.
Katanya, anggota Kabinet seharusnya bebas menyatakan pandangan tanpa disekat dan beliau tidak mahu terus memegang jawatan hanya kerana dipujuk tanpa mandat jelas daripada parti.
“Kononnya bila pujuk saya akan balik. Balik itu, saya kekal dalam kerajaan. Secara tersiratnya bersyarat, tutup mulut diam-diam sebab kamu menteri yang tidak ada mandat,” katanya.
Rafizi menekankan bahawa kuasa bukanlah satu-satunya jalan untuk menjamin kelangsungan atau kedudukan dalam politik, sebaliknya ia harus berpaksikan penerimaan rakyat.
Jelasnya, setiap usaha yang dilakukan perlu memberikan manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. – UTUSAN