KUALA TERENGGANU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berjaya menjalani prosedur rawatannya hari ini.
Anak beliau, Muhammad Khalil mengesahkan perkara itu menerusi satu hantaran dalam media sosial Facebooknya.
“Alhamdulillah prosedur yang dijalani TG (Tuan Guru) berjaya dilaksanakan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Sama-sama kita teruskan doa untuk kesembuhan TG,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Khalil memohon orang ramai supaya mendoakan kesembuhan serta mengadakan solat hajat untuk bapanya itu yang juga Ahli Parlimen Marang.
Sementara itu, semua cawangan Pas di Terengganu diarahkan mengadakan solat hajat malam semalam bagi mendoakan kesejahteraan Abdul Hadi menjelang rawatan tersebut.
Setiausaha Pas Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, solat hajat itu sebagai usaha memohon kepada Allah SWT agar segala urusan rawatan dipermudah dan dikurniakan kesembuhan sepenuhnya. – UTUSAN