Tentera Thailand nafi arah pemindahan penduduk untuk serang Kemboja - Utusan Malaysia

Tentera Thailand nafi arah pemindahan penduduk untuk serang Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Tentera Darat Diraja Thailand (RTA) semalam menafikan dakwaan tular dalam media sosial yang kononnya mereka mengarahkan pemindahan penduduk di wilayah Surin sebagai persediaan untuk melancarkan serangan terhadap Kemboja.

Jurucakap RTA, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, berkata dakwaan itu berpunca daripada satu hantaran media sosial yang dikatakan dikongsi oleh bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, dan memetik kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja.

Menurut Winthai, hantaran tersebut secara tidak benar mendakwa bahawa tentera Thailand telah mengarahkan pemindahan penduduk pada waktu malam dan sedang bersiap untuk melakukan serangan ketenteraan ke atas negara jiran itu.

“Saya ingin tegaskan dakwaan ini adalah tidak benar. Tiada sebarang arahan pemindahan dikeluarkan sama ada di Surin atau di mana-mana kawasan lain,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Beliau menyeru orang ramai tidak mudah percaya dengan maklumat yang tidak disahkan dan hanya merujuk kepada sumber rasmi untuk mengelakkan panik dalam kalangan penduduk.

Winthai turut menegaskan walaupun Tentera Thailand komited terhadap perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa, pasukan itu tetap mengekalkan tahap kesiapsiagaan operasi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja dijadualkan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos ini, susulan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai hasil usaha diplomatik Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 28 Julai lalu.

Thailand dan Kemboja sudah lama berdepan pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer yang berpunca daripada perselisihan sejak tahun 1907.

Ketegangan terkini meningkat selepas pertempuran singkat antara tentera kedua-dua negara pada 28 Mei, yang kemudiannya mencetuskan insiden bersenjata lebih serius pada 24 Julai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN