KUALA LUMPUR: ASEAN kini dalam usaha menjadi salah satu pembekal utama tenaga boleh baharu terkemuka di dunia melalui kerjasama erat antara negara anggota.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam usaha tersebut, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN memainkan peranan penting dalam Projek Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid – APG) dan melihat ia sebagai langkah strategik dalam memastikan keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar lebih terjamin.
Malah jelasnya, beliau yakin perancangan tersebut mampu menarik pelaburan luar.
“Kami menyasarkan untuk menyediakan hala tuju ASEAN Power Grid-APG menjelang akhir tahun ini, ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN. Filipina dijangka akan meneruskan pelaksanaannya tahun hadapan,” katanya dalam Forum Memacu Ekosistem Tenaga Masa Depan Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Setakat ini, lima negara ASEAN telah dihubungkan menerusi grid kuasa serantau, termasuk melalui Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) yang dianggap sebagai projek perintis.
Bagaimanapun katanya, antara cabaran utama yang perlu dihadapi adalah menyelaraskan piawaian dan peraturan teknikal, menyusun model perniagaan dan pembiayaan serantau serta membangunkan infrastruktur kabel dasar laut serta teknologi.
Selain itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air berkata, ASEAN kini sedang merancang untuk menubuhkan sebuah badan pengawal selia serantau bangi menyelaras dasar dan pelaksanaan tenaga antara negara anggota.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan, Malaysia bersedia memainkan peranan utama dalam menjayakan penyambungan Grid Tenaga ASEAN dengan pelaburan besar sebanyak AS$40 bilion (RM188 bilion) bagi menaik taraf sistem grid negara.
Katanya lagi, pelaburan tersebut adalah sebahagian daripada persediaan Malaysia untuk melaksanakan agenda serantau yang lebih besar dengan menyambungkan grid tenaga negara dengan semua negara anggota ASEAN menjelang 2027.
“Ini adalah satu langkah ke arah merealisasikan grid tenaga ASEAN sepenuhnya. Kami sedang bersedia dari segi infrastruktur dalam negara sebelum disambungkan ke peringkat serantau,” jelasnya.
Dalam kerangka Grid Borneo, Fadillah turut menjelaskan Sarawak sedang memainkan peranan utama untuk mengeksport tenaga elektrik ke Kalimantan Barat.
Ia kemudiannya juga dalam perancangan untuk menyalurkan tenaga ke Singapura dan Brunei, seterusnya disambungkan ke Filipina, akhirnya ke Semenanjung Malaysia.
“Grid Borneo ini merupakan komponen penting kepada jaringan tenaga ASEAN dan Sarawak berada di barisan hadapan sebagai pengeluar tenaga boleh baharu,” katanya. – UTUSAN