PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan penganjuran program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sedang dilengkapkan polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia susulan keterangan dua individu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) selesai diambil pada pukul 4.30 petang, semalam.
Beliau berkata, sebanyak 38 soalan diajukan kepada kedua-duanya, namun mereka memilih untuk menjawab di mahkamah.
“Kita turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Huawei berserta kad sim daripada salah seorang mereka untuk siasatan.
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengesahkan telah memanggil dua individu itu.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan PSM bertarikh 31 Mei lalu, program ditangguhkan bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan peserta.
Dalam pada itu, sebanyak 188 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung perkara itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung perancangan program yang dipercayai akan diadakan pada 21 Jun ini di sini.
Program itu mencetus sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.
Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ, Bukit Aman. – UTUSAN