Program Korban Perdana Parlimen Bukit Gantang dapat sambutan - Utusan Malaysia

Program Korban Perdana Parlimen Bukit Gantang dapat sambutan

PENDUDUK melapah daging lembu pada program korban perdana Parlimen Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Harga istimewa RM499 untuk satu bahagian haiwan korban membolehkan lebih ramai penduduk dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang di sini menyertai ibadah korban tahun ini.

Harga tersebut yang lebih rendah berbanding kadar biasa, ditawarkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada Program Qurban Perdana yang diadakan di Pusat Khidmat beliau di sini hari ini.

Sebanyak 420 penduduk menyertai program tersebut.

Seorang peserta korban, Sharudin Ahmad, 63, berkata, harga satu bahagian korban RM499 yang ditawarkan membolehkan golongan kurang berkemampuan turut menunaikan ibadah korban.

Menurutnya, tawaran harga rendah yang diberikan itu sangat membantu orang kampung untuk tidak ketinggalan melakukan ibadah korban.

“Pada program ini, bukan sahaja harga bahagian korban yang rendah tetapi agihan daging korban diurus dengan teratur. Kampung saya menerima lima bahagian daging korban untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.

“Program ini membantu kami menunaikan ibadah korban dan agihan daging sampai terus ke rumah golongan yang susah. Semua kampung dapat agihan sama rata, cepat dan lancar,” katanya di sini hari ini. .

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, pihaknya menawarkan lembu integrasi yang dibawa khas dari Johor dan hanya diberi makan rumput, dengan berat purata sekitar 220 kilogram seekor.

Menurutnya, semua 60 ekor lembu korban habis ditempah dan program pagi ini melibatkan 13 ekor lembu yang disembelih.

“Sambutan luar biasa pada program ini kerana kosnya jauh lebih rendah daripada pasaran biasa. Kalau dahulu seekor lembu boleh cecah RM5,000, kini rakyat boleh melaksanakan ibadah korban dengan kadar yang mereka mampu,” katanya.

Menurutnya, program itu turut disertai pelbagai agensi termasuk Balai Bomba dan Penyelamat dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, menjadikan keseluruhan tenaga kerja dan peserta yang terlibat dalam program  itu seramai 450 orang.

“Bukan sahaja kita bantu dari segi ibadah, tapi kita libatkan semua pihak dalam menjayakan program ini yang menyerlahkan semangat gotong-royong para peserta,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN