PUTRAJAYA: Presiden Poland, Andrzej Duda yang mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari pertamanya ke Malaysia bermula diberi sambutan rasmi negara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Andrzej disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar pukul 10.06 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Ketibaan Andrzej diiringi isterinya, Agata Kornhauser-Duda yang turut disambut oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang dipimpin Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan Menteri Kabinet lain.
Menerusi kunjungan rasmi ini, kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan meluaskan kerjasama sedia ada.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala, termasuk bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan agrokomodit.
Lawatan ini juga dilihat lebih bermakna memandangkan Polad ketika ini menjadi Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun ini, manakala Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Dalam rangka lawatan ini, Perdana Menteri juga akan menghoskan majlis jamuan rasmi di Kompleks Seri Perdana sebagai menghormati Presiden dan delegasinya.
Pada masa sama, beliau turut dijadual mengadakan lawatan ke Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson serta menyampaikan syarahan umum di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya.
Pada 2024, Poland merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera, manakala import utama dari Poland terdiri daripada jentera, peralatan dan alat ganti selain produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan. – UTUSAN