Presiden Guinei-Bissau diberi sambutan rasmi negara

Presiden Guinei-Bissau diberi sambutan rasmi negara

UMARO Sissoco Embalo memeriksa kawalan kehormat ketika sambutan rasmi negara ni Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden Guinea-Bissau, Jeneral Umaro Sissoco Embalo yang dalam lawatan pertamanya ke Malaysia diberi sambutan rasmi negara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Embalo disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar pukul 9.02 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja diketuai oleh Mejar Mohamad Waqiyudin Abd. Rahman.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri-menteri Kabinet.

Kedua-dua pihak akan mengadakan perbincangan yang tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan pembangunan kapasiti.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

Embalo dan delegasi seterusnya akan diraikan Perdana Menteri dengan menghoskan jamuan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata, Malaysia dan Guinea-Bissau telah menjalin hubungan diplomatik pada November 1974.

Jelasnya, hubungan dua hala antara kedua-dua negara adalah baik, terutamanya komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala.

“Ini seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

“Pada tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau telah mencapai RM4.1 juta, dengan nilai eksport Malaysia ke Guinea-Bissau sebanyak RM4.04 juta dan import berjumlah RM0.06 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN