Operasi tujuh pesawat pejuang F/A-18D Hornet ditangguh sementara

Operasi tujuh pesawat pejuang F/A-18D Hornet ditangguh sementara

MOHAMED KHALED Nordin ketika hadir dalam Majlis Beramah Mesra bersama masyarakat Cina di Medan Selera, Kota Tinggi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (Mindef) menangguhkan sementara semua operasi pesawat pejuang F/A-18D Hornet susulan insiden sebuah pesawat jenis itu terhempas di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan untuk mengenal pasti punca kejadian.

Katanya, penangguhan itu penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Menurutnya, penangguhan itu membabitkan keseluruhan tujuh pesawat pejuang yang dimiliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Pihak tentera udara akan tubuhkan jawatankuasa penyiasat, beri mereka masa untuk melakukan siasatan terhadap punca kapal terbang itu terhempas.

“Apa yang penting kita bersyukur juga kerana juruterbang dan salah seorang daripada kru itu selamat dalam kejadian,” katanya selepas menghadiri Majlis Beramah Mesra bersama masyarakat Cina di Medan Selera, Kota Tinggi, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta laporan siasatan berhubung insiden itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Dalam kejadian Khamis lalu, sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik TUDM terbabit dalam kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, sebelum musnah sepenuhnya.

Bagaimanapun, kedua-dua juruterbang dilaporkan selamat dalam insiden itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN