KOTA TINGGI: Sebarang pelanggaran terhadap tatacara proses perolehan kerajaan akan dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan (RUU PK) yang dibentangkan minggu depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya prosedur perolehan termasuk tender tidak dipatuhi, ia boleh dikenakan hukuman mengikut peruntukan akta baharu itu sebagaimana diumumkan Perdana Menteri.
“Kerajaan pada minggu depan akan membentangkan rang undang-undang perolehan yang mana seperti Perdana Menteri umumkan dimana mereka yang melanggar proses tata syarat perolehan ia dianggap sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang dan boleh dihukum.
“Maknanya kalau prosedur proses tidak diikuti dalam sesuatu tender ke itu adalah satu kesalahan dan boleh dihukum melalui akta itu, jadi kita sama-samalah tunggu akta itu dibentangkan pada minggu depan, pada hari esok ke lusa,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Beramah Mesra bersama Masyarakat Cina Kota Tinggi di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sistem perolehan, khususnya dalam sektor pertahanan negara perlu dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan bebas daripada sebarang amalan rasuah atau komisen yang boleh membebankan negara.
Katanya, perolehan aset sering menjadi ruang kepada syarikat dan ejen untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga merugikan negara dan melemahkan kekuatan pertahanan.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, teguran Perdana Menteri berhubung isu perolehan itu juga adalah merujuk kepada soal umum.
“Ia (teguran Perdana Menteri) merujuk kepada soal umum, oleh kerana majlis itu (Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi LIMA) ada kaitan dengan perolehan Kementerian Pertahanan,” katanya. – UTUSAN









