Polis rakam percakapan guru hina kematian pelajar UPSI - Utusan Malaysia

Polis rakam percakapan guru hina kematian pelajar UPSI

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis sudah merakam percakapan seorang guru yang didakwa memuat naik hantaran jelik dalam Facebook berkaitan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Gerik minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, individu tersebut hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung hari ini untuk dirakam percakapan.

“Individu tersebut hadir di IPD Manjung pada pukul 10 pagi tadi dan percakapannya selesai dirakam sepenuhnya kira-kira pukul 1 petang.

“Kita akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah kertas siasatan berkenaan siap sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi.

Hantaran dalam akaun Facebook lelaki tersebut menimbulkan pelbagai reaksi apabila mendakwa 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas minggu lalu meninggal dunia dalam keadaan hina.

Lelaki terbabit juga mendakwa kesemua pelajar yang terkorban itu bukan orang yang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Dalam kemalangan di Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding pada Isnin lalu, bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV jenis Perodua Alza dinaiki empat sekeluarga.

Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.

Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas cuti hari raya Aidiladha. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN