Alami kemusnahan dan kematian, Israel terima ‘karma’ serang Gaza

Alami kemusnahan dan kematian, Israel terima ‘karma’ serang Gaza

PASUKAN penyelamat berdiri di tengah runtuhan bangunan yang rosak di bandar Tel Aviv, berikutan serangan peluru berpandu Iran semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Situasi di Israel kini menyerupai kemusnahan dahsyat di Gaza, selepas serangan peluru berpandu Iran menyebabkan kerosakan teruk terhadap kebanyakan kawasan di negara haram itu.

Debu dan serpihan bangunan memenuhi jalan, manakala pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengesan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan dengan angka korban semasa mencecah 25 orang.

Situasi getir yang melanda penduduk Israel ketika ini seakan ‘karma’ terhadap tindakan kejam rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023.

Walaupun pasukan keselamatan Israel diberi latihan untuk menghadapi serangan seperti itu, ramai mengakui tidak menjangka impaknya begitu teruk.

Terdapat beberapa peluru berpandu Iran yang gagal dipintas sistem pertahanan udara Israel, termasuk Iron Dome, yang sebelum ini dianggap antara pa­ling canggih di dunia.

Malah, beberapa bunker yang selama ini menjadi tempat perlindungan penduduk Israel turut terkena serangan, mengakibatkan kecederaan dan kematian penduduknya.

KELEMAHAN PERTAHANAN ISRAEL

Menurut statistik yang dikeluarkan tentera Israel pada Ahad, Iran melancarkan 280 peluru berpandu balistik ke arah Israel sejak Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memulakan sera­ngan terhadap program nuklear Iran pada Jumaat lalu.

IDF mengesahkan beberapa peluru berpandu Iran melepasi sistem pertahanan udaranya dan mengenai kawasan kediaman seperti Tel Aviv, Ramat Gan, Rishon Lezion, Bat Yam, Rehovot, Haifa dan Tamra.

IDF menyatakan, kemusnahan besar di lokasi serangan berpunca daripada kepala peledak seberat 500 kilogram yang dibawa oleh peluru berpandu balistik Iran, iaitu jenis sama yang digunakan dalam serangan pada April dan Oktober 2024.

Namun, tentera israel ‘tidak mahu kalah’ apabila menyatakan peluru berpandu yang dilancarkan Iran kali ini tidak berbeza daripada serangan lalu, sekali gus membolehkan negara haram itu menjangkakan bentuk ancaman.

Walaupun serangan ini boleh diramal, sistem pertahanan Israel masih gagal menyekat sepenuhnya, membuktikan ia tidak cukup bersedia menghadapi serangan yang diketahui lebih awal.

Berbeza dengan serangan tahun lalu yang menyasarkan kawasan terpencil seperti Pangkalan Udara Nevatim, peluru berpandu kali ini disasarkan ke kawasan berpenduduk padat seperti Gush Dan dan Haifa.

Ini bermakna setiap peluru berpandu yang tidak dipintas membawa risiko tinggi kepada nyawa dan infrastruktur, mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan penduduk.

Meskipun IDF mendakwa mampu memintas peluru berpandu Iran, seorang pegawai tentera mengakui kepada The Times of Israel bahawa beberapa hentaman tetap berlaku, membayangkan kelemahan pertahanan Israel dalam menangkis serangan berskala besar.

NASIB MASYARAKAT ARAB ISRAEL

Perang antara Israel dan Iran melibatkan senjata moden berkuasa tinggi yang mampu menghancurkan tubuh manusia dalam sekelip mata.

Israel mempunyai sistem pertahanan udara antara tercanggih di dunia selain tiga per empat daripada kawasan di negara haram itu dilengkapi bunker bawah tanah, yang menjamin perlindungan keselamatan kepada rakyat Israel.

Namun, keluarga Manar Kha­tib tidak memiliki kemudahan itu. Mereka merupakan warga Palestin Israel yang tinggal di bandar Tamra, kawasan majoriti Arab di Galilee Hilir yang dihuni lebih 37,000 penduduk.

Seperti kebanyakan bandar Palestin lain di Israel, Tamra tidak mempunyai walau satu pun tempat perlindungan bawah tanah.

Apabila peluru berpandu Iran jatuh di kawasan itu pada Sabtu, ia terus menghentam rumah tiga tingkat milik keluarga Manar, menyebabkan dia, dua anak perempuan, Shada dan Hala, serta iparnya terkorban.

Datuk Bandar Tamra, Mussa Abu Rumi berkata, sejak penubuhan negara haram itu, kerajaan Israel tidak pernah melabur walaupun sebuah bunker untuk masyarakat Arab, seolah-olah mereka tiada nilai kepada pembangunan Israel

Serangan peluru berpandu di Tel Aviv, Rishon LeZion dan Bat Yam menyaksikan kawasan terjejas dipenuhi anggota penyelamat, tentera, polis dan sukarelawan.

Di Tamra, kebanya­kan usaha menyelamat dilakukan masyarakat setempat dan pekerja majlis perbandaran, sekali gus menunjukkan penduduk Arab Israel tidak mempunyai ‘tempat’ seperti penghuni Yahudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN