KOTA BHARU: Polis Kelantan melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM11.3 juta yang dirampas dalam pelbagai operasi sejak 1997 sehingga tahun lepas.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, daripada jumlah itu, dadah jenis syabu menjadi bahan terlarang paling banyak dilupuskan membabitkan RM9.6 juta.
Katanya, proses melupuskan barangan kes selama 27 tahun itu dilakukan di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Selain syabu, ubat batuk, pil yaba, pil psikotropik, ganja, air ketum, heroin, pil epam, daun ketum, etizalam dan ketamin antara bahan terlarang yang akan dilupuskan. Semua ini dilakukan selepas melalui proses mahkamah dan mendapat arahan untuk dilupuskan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, sepanjang tempoh lima bulan tahun ini, sebanyak 10.3 juta dadah dirampas dan pelbagai aset milik pengedar dadah disita membabitkan nilai berjumlah RM1.3 juta. – UTUSAN










