PM terima sokongan positif rakyat - kajian Merdeka Center - Utusan Malaysia

PM terima sokongan positif rakyat – kajian Merdeka Center

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sokongan positif sebanyak 55 peratus daripada majoriti pengundi di negara ini. 

Jumlah tersebut diperoleh hasil tinjauan tinjauan yang dijalankan Merdeka Center pada 12 sehingga 23 Mei lalu. 

Katanya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang pencapaian tersebut  antaranya rakyat  mula merasakan negara berada di landasan yang lebih stabil dan  ketidaktentuan politik telah reda.

“Selain itu,  Anwar kini mengetuai kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen. Langkah reformasi institusi seperti pewujudan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 juga memberi isyarat kepada pemerintahan yang lebih berprinsip,” kata Merdeka Center menerusi satu kenyataan hari ini. 

Menurut laporan itu lagi, berdasarkan aspek ekonomi, data kerajaan menunjukkan kadar inflasi menurun kepada hanya 1.4 peratus  pada Mac lalu iaitu  terendah dalam tempoh tiga tahun.

“Manakala pertumbuhan ekonomi mencatatkan 4.4 peratus pada suku pertama. Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, bantuan tunai sempena perayaan untuk penjawat awam, serta subsidi bahan api yang masih diteruskan telah membantu meredakan tekanan kos sara hidup.

“Walaupun ekonomi terus menjadi kebimbangan utama rakyat, ketiadaan kejutan harga walaupun selepas penghapusan subsidi diesel pada 2024 telah membantu meredakan sentimen awam,” jelasnya. 

Merdeka Centre juga mendapati, Anwar yang juga Menteri Kewangan berjaya memperkukuh profil Malaysia di peringkat global. 

“Kehadiran Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 memberi peluang diplomatik yang besar. Perjanjian pelaburan baharu, kerjasama perdagangan, serta kepimpinan dalam inisiatif negara-negara Selatan Global turut meningkatkan imej beliau dalam negara. 

“Namun begitu, isu harian seperti kos hidup masih menjadi keutamaan utama rakyat, lebih daripada dasar luar atau ucapan politik. Dengan kos harian yang semakin stabil dan pekerjaan yang lebih terjamin, semakin ramai pengundi mula memberi ruang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan,” ujarnya. 

Menurut kajian itu lagi,  penilaian terhadap kerajaan Persekutuan berada pada 50 peratus pada Mei lalu menunjukkan peningkatan berbanding pada Jun tahun lalu iaiatu 40 peratus.

“Tahap ketidakpuasan terhadap kerajaan pula menurun kepada 48 peratus berbanding 58 peratus  pada tahun lalu. Jurang kecil antara kepuasan dan ketidakpuasan ini banyak dipengaruhi oleh kebimbangan berterusan terhadap kos sara hidup dan keresahan terhadap pemotongan subsidi yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN