RANTAU PANJANG: Tindakan lima individu yang melakukan aktiviti rentas sempadan secara haram membawa padah selepas ditahan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am semalam.
Kesemua mereka yang terdiri dari dua lelaki dan tiga wanita itu ditahan pada pukul 7 petang selepas masuk ke negara ini melalui pangkalan haram Gergaji di sini menerusi rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kesemua individu itu terdiri daripada empat warganegara Thailand dan seorang rakyat tempatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen keluar masuk ke negara ini secara sah.
“Salah seorang daripada empat individu itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, empat individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lagi bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.-UTUSAN