WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tidak akan menyertai Persidangan Antarabangsa Keempat Mengenai Pembiayaan Pembangunan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan berlangsung dari 29 Jun hingga 3 Julai ini di Seville, Sepanyol.
Keputusan itu sekali gus menzahirkan pendirian tegas pentadbiran Presiden Donald Trump untuk mengurangkan bantuan luar secara besar-besaran.
Wakil Amerika Syarikat, Jonathan Shrier, memaklumkan dalam mesyuarat persediaan bahawa Washington menarik diri daripada menyertai persidangan tersebut selepas menolak draf dokumen yang bakal menjadi hasil utamanya.
“Amerika sejak awal lagi berusaha agar dokumen hasil persidangan itu bersifat ringkas dan menggambarkan cita-cita bersama dalam pembiayaan pembangunan, bukannya menambah keperluan baharu, mewujudkan struktur yang bertindih serta mengganggu kedaulatan negara anggota,” katanya.
Susulan pengunduran AS, negara anggota PBB tetap meluluskan satu draf deklarasi yang menegaskan komitmen bersama untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) menjelang tahun 2030, termasuk usaha menghapuskan kemiskinan tegar, memerangi kebuluran dan memperjuangkan kesaksamaan jantina.
Bagaimanapun, Washington secara terbuka menolak matlamat tersebut.
“Kami tidak lagi mengesahkan semula Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan dan matlamat SDGs sebagai suatu kebiasaan,” ujar Shrier, sambil menambah negaranya turut menolak penggunaan istilah ‘jantina’ dalam perbincangan berkaitan perbezaan berdasarkan jantina serta tidak menyokong sebarang keutamaan berasaskan jantina.
Dalam masa sama, Washington turut menyuarakan bantahan terhadap cadangan penubuhan sistem pembiayaan pembangunan baharu yang disifatkan mengganggu peranan institusi kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
AS juga menolak cadangan untuk merangka Konvensyen PBB mengenai Kerjasama Percukaian Antarabangsa.
Negara-negara membangun sejak sekian lama menyeru kepada pembaharuan dalam sistem kewangan global bagi memudahkan akses kepada dana pembangunan, khususnya yang berdepan bebanan hutang tinggi.
Draf deklarasi yang diluluskan turut menyokong gesaan tersebut, menyatakan bahawa sistem kewangan global harus sentiasa menyesuaikan diri dengan realiti dunia yang berubah.
Antara cadangan utama dalam deklarasi itu ialah agar bank pembangunan pelbagai hala mempertimbangkan untuk melipatgandakan keupayaan pinjaman tahunan mereka, sesuatu yang turut ditentang oleh AS. — AGENSI









