Iran tangkap lima ejen Mossad didakwa cemar imej negara

Iran tangkap lima ejen Mossad didakwa cemar imej negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran menahan lima individu yang dipercayai ejen agensi perisikan Israel, Mossad, kerana didakwa mencemarkan imej negara itu di dalam talian, lapor agensi berita tempatan.

Menurut kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Tasnim dan ISNA, Pengawal Revolusi Iran berkata, tentera upahan itu cuba menimbulkan ketakutan orang awam dan mencemarkan imej sistem suci Iran melalui aktiviti terancang mereka secara dalam talian.

Penahanan itu dilakukan di wilayah barat Iran, Lorestan.

Tangkapan tersebut berlaku ketika Iran dan Israel terus berbalas serangan untuk hari keenam berturut-turut, susulan operasi udara rejim ke atas kemudahaan nuklear dan ketenteraan, termasuk kawasan kediaman yang dilancarkan di Teheran minggu lalu.

Jumaat lalu, Iran mengumumkan sekatan sementara terhadap internet akan dilaksanakan sepanjang tempoh konflik, menyebabkan banyak laman web dan aplikasi kini tidak dapat diakses sepenuhnya.

Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai supaya meminimumkan penggunaan peranti yang disambungkan ke internet dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Bagi tujuan keselamatan, penjawat awam dan pasukan keselamatan turut dilarang menggunakan sebarang peranti yang disambung ke internet, termasuk telefon pintar, jam tangan dan komputer riba sepanjang serangan udara Israel.

Televisyen negara turut menyeru rakyat Iran supaya memadam aplikasi WhatsApp daripada telefon mereka, dengan mendakwa ia mengumpulkan lokasi dan data peribadi pengguna serta menyampaikannya kepada musuh.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN