PASIR MAS: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menyeludup sembilan ekor lembu selepas menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki di Kampung Kolam, Gelang Mas disini semalam.
Tangkapan dan rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 12 tengah hari.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori itu membawa kepada penemuan sembilan ekor lembu di dipercayai diseludup dari Thailand.
Menurutnya, semasa ditahan pemandu berusia 27 tahun itu gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan lembu-lembu tersebut.
“Anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM78,000 termasuk lori dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua barangan rampasan dan suspek diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN










