Petugas media digalak mencarum Perkeso - Utusan Malaysia

Petugas media digalak mencarum Perkeso

TENGKU Khalidah Tengku Bidin (dua dari kanan) menyantuni Razif Rosli di Taman Metro Pengkalan di Batu Gajah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Pengamal media digalakkan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) khususnya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Ketua Cawangan Penjenamaan, Perhubungan Media dan Editorial Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan kerjaya kewartawanan berisiko tinggi ketika bertugas di lapangan.

Menurutnya, melalui SKSPS, wartawan bebas dan jurugambar layak menerima pelbagai faedah termasuk cuti sakit bergaji, elaun hilang upaya kekal dan pencen penakat kepada waris sekiranya berlaku kematian.

“Masih terdapat ramai petugas media kalangan wartawan sambilan, bebas dan yang telah bersara wajib tidak lagi dilindungi Perkeso apabila mereka tidak mempunyai majikan tetap.

“Bagi mereka yang berusia lebih 60 tahun atau bekerja sendiri, kami galakkan mencarum melalui SKSPS kerana skim ini tiada had umur dan menyediakan perlindungan menyeluruh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Ziarah Media Perak di kediaman wartawan sambilan Bernama, Razif Rosli, 41, yang mengalami kecederaan meniskus lutut kanan serta masalah buah pinggang di Taman Metro Pengkalan di sini hari ini.

Tengku Khalidah turut menyantuni jurugambar akhbar The China Press, Wong Jin Sum, 53 yang mengalami strok ringan serta wartawan akhbar Malaysian Nanban, S. Balakrishnan, 64, yang menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi di kediaman masing-masing.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Perak, V. Mohanadas.

Mengenai program Ziarah Prihatin, Tengku Khalidah berkata, ia menjadi platform dalam menyampaikan manfaat SKSPS.

Menurutnya, hampir setiap minggu pihaknya menyantuni pengamal media yang memerlukan bantuan.

“Melalui program ini kita bukan sahaja menyantuni tetapi juga menilai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN