BACHOK: Lebih 7,000 penduduk yang membanjiri kawasan Pantai Cherang Laut, Tawang di sini terpesona melihat kira-kira 100 wau gergasi diterbangkan selama tiga hari sepanjang Temasya Wau Gergasi 2025, berakhir kelmarin.
Pengarah program, Muhammad Nor Akraminuddin Mohd. Razihan berkata, penganjuran itu bertujuan mencungkil bakat baharu dalam pembuatan wau khususnya wau bulan dan wau puyuh.
“Setiap kumpulan diwajibkan membawa tiga wau iaitu dua wau puyuh dan satu wau bulan bersaiz antara tiga hingga empat meter. Wau-wau tersebut perlu disobek dengan corak-corak menarik serta bunyi busur yang unik.
“Kebanyakan mereka yang menyertai temasya ini adalah pembuat wau terdiri daripada pelbagai peringkat usia di seluruh pelosok negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Nor Akraminuddin berkata, kemuncak acara dimeriahkan dengan pameran wau bulan bersaiz enam meter dan wau puyuh lebih lapan meter.
Katanya, ia adalah salah satu usaha mengangkat martabat dan seni warisan bangsa ke peringkat lebih tinggi.
“Kumpulan Sri Tendong dari Pasir Mas muncul juara untuk membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000,” katanya. – UTUSAN