PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan dikemukakan Kerajaan, Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan dua pihak lain berhubung pelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hashim Hamzah dan bersidang bersama Datuk Wong Kian Keong dan Datuk Ismail Brahim, memutuskan demikian selepas mendapati Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf sehingga membolehkan satu campur tangan dilakukan.
Menurut penghakiman ringkas panel terbabit hari ini, veteran tentera yang bersara sebelum 1 Januari 2013 telah menerima pelarasan gaji sejak 2002, yang menyebabkan jumlah pencen diterima mereka meningkat.
Sementara itu, pelarasan (adjustment) skala gaji pada tahun 2013 bertujuan menarik lebih ramai orang awam untuk menyertai angkatan tentera dan bukannya semakan semula untuk anggota sedia ada seperti dinyatakan dalam pekeliling kerajaan.
“Peningkatan skala gaji selepas 2013 adalah berpatutan kerana ia bertujuan untuk memperbaiki gaji anggota yang masih berkhidmat berbanding mereka yang telah bersara.
“Oleh itu, Pesuruhjaya Kehakiman telah tersilap dalam keputusannya yang menyatakan wujud diskriminasi yang tidak mengikut Perlembagaan,” tambah Wong.
Tambah panel terbabit, pesara tentera yang bersara sebelum 1 Januari 2013 tidak berhak menerima pelarasan pencen kerana mereka hanya layak menerima semakan semula gaji.
Oleh itu, panel mendapati tiada pelanggaran hak pesara tentera di bawah Perkara 5, 8 dan 147 Perlembagaan Persekutuan.
Pada prosiding hari ini, peguam Mohd. Haniff Khatri Abdulla hadir mewakili 50 pesara ATM selaku plaintif manakala pihak kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera yang dinamakan sebagai responden, diwakili Peguam Persekutuan, M. Kogilambigai.
Haniff Khatri ketika ditemui media memberitahu, pihaknya akan meneliti penghakiman panel pada hari ini sebelum memutuskan sama ada ingin mengemukakan rayuan atau sebaliknya.
Pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah yang digunakan untuk pesara yang bersara selepas tarikh tersebut.
Mahkamah juga memutuskan bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 dan/atau Perkara 8 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal membuat pelarasan pencen yang sewajarnya bagi pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Seramai 50 anggota tentera pelbagai pangkat termasuk mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet, telah memfailkan saman pemula pada 17 Nov 2022, bagi mendapatkan deklarasi bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013. – UTUSAN