KUCHING: Sikap saling menghormati antara Persekutuan dan Sarawak menjadi asas dalam menyelesaikan pelbagai isu nasional.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangkis dan mengkritik tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap dirinya dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, di Semenanjung beliau masih mendengar dakwaan fitnah bahawa beliau dipaksa dan diugut untuk mengekalkan kuasa yang kononnya menyebabkan dirinya membuat konsesi kepada Sarawak.
Sementara itu, tambah beliau, di Sarawak pula ada beberapa suara elit yang menyerang Premier, seolah-olah beliau lemah dalam rundingan.
“Pengkritik ini bercakap tanpa fakta dan hanya menimbulkan keresahan yang tidak perlu,” katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Pada masa sama Anwar berkata, rundingan tidak pernah mudah dan mesti berasaskan prinsip yang kukuh.
“Percayalah, mencapai kata sepakat melalui rundingan bukanlah tugas yang mudah. Tetapi jika kita berpegang pada prinsip, matlamat kita jelas iaitu untuk memastikan kemajuan di semua wilayah,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan kerajaan untuk memperuntukkan dana besar kepada Sarawak bukan kerana tekanan politik.
“Tetapi atas tanggungjawab kerajaan sebagai kerajaan yang adil untuk memastikan keselesaan dan kemakmuran untuk semua,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan perjanjian antara Petronas dan Petros sebagai satu kejayaan bersama yang menguntungkan kedua-dua pihak iaitu kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
“Malaysia dan Sarawak bukan lagi pada era 1970-an atau 80-an. Hari ini, generasi muda kita berkelayakan tinggi dan berpengalaman setelah menjalani latihan dan bekerja di syarikat-syarikat besar seperti Petronas dan Shell.
“Mereka percaya Petros harus diberi ruang terutamanya dalam menguruskan pengagihan gas di Sarawak. Dari sudut itu, ini benar-benar hasil menang-menang,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa Petronas adalah syarikat minyak nasional yang berperanan untuk seluruh Malaysia, bukan eksklusif kepada Semenanjung sahaja.
Beliau juga mengiktiraf keupayaan Sarawak yang semakin berkembang serta hasrat negeri itu untuk membangunkan sektor minyak dan gas sendiri melalui Petros. – UTUSAN










