JOHOR BAHRU: Seorang peniaga kosmetik dalam talian kecewa selepas imej dan perniagaan yang dijalankan terkesan gara-gara didakwa mempunyai abang yang berhutang dengan ceti haram atau ah long.
Lebih menyedihkan, Goh Jia Hui, 35, yang hanya mempunyai tiga adik lelaki terkejut apabila diganggu oleh pengguna media sosial dipercayai mempunyai kaitan dengan along berkenaan.
Katanya, individu tersebut memuat naik hantaran mengenai seorang lelaki yang didakwa abangnya sebelum diminta untuk menjelaskan hutang lelaki berkenaan.
“Saya sudah menjalankan perniagaan dalam talian lebih 10 tahun, apabila timbul masalah begini, ia menjejaskan imej dan perniagaan saya. Ramai pembeli tanya betulkah ‘abang’ saya berhutang dengan along.
“Saya tidak kenal lelaki dalam gambar yang dimuat naik dalam Facebook itu. Pihak yang memuat naik hantaran itu mendakwa itu abang kandung saya kerana nama keluarga kami sama, sedangkan saya tidak ada abang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor, di sini hari ini.
Jia Hui berkata, dia berada di Korea Selatan atas tujuan perniagaan ketika hantaran itu dimuat naik oleh individu terbabit pada 11 Jun lalu.
“Saya terpaksa lupakan soal perniagaan dan terus kembali ke Malaysia. Ia sedikit sebanyak mengganggu dan saya agak tertekan.
“Saya juga bimbang jika mereka akan ganggu ibu saya yang sudah berusia dan anak saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis dibuat wanita berkenaan dan kes diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan lanjut. – UTUSAN