KUALA SELANGOR: Sebuah restoran milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram di Puncak Bestari, Bandar Puncak Alam di sini, disimbah cat merah dipercayai oleh ceti haram atau ah long hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 2.53 pagi tadi itu disedari pekerja yang tinggal di asrama tingkat atas premis berkenaan.
Mohd. Shaid Rosli, 42, berkata, insiden itu berlaku selepas restoran masakan panas yang baru beroperasi selama dua minggu ditutup pukul 12 tengah malam.
Katanya, beberapa pekerja yang sedang berehat di asrama bagaimanapun terdengar bunyi mencurigakan di tingkat bawah premis tersebut.
“Bagi mendapatkan kepastian, mereka kemudian turun dan terkejut melihat simbahan cat merah pada dinding, pintu utama dan gerai restoran itu.
“Selain itu, satu poster ditampal di pintu premis yang meminta supaya membayar hutang wang dipercayai oleh ah long,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Jelas Mohd. Shaid, premis berkenaan disewa individu lain yang turut menjual makanan sebelum ini.
“Pihak ah along itu telah tersilap orang dan saya tidak terlibat dengan perkara berkenaan.
“Saya membuat laporan mengenai kejadian di Balai Polis Saujana Utama bagi tindakan lanjut, 12.30 tengah hari tadi,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan. – UTUSAN










