ROMPIN: Seorang pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti menyelam di perairan Pulau Chebeh, dekat Pulau Tioman semalam, ditemukan selamat hari ini.
Eliza M. Yusup, 44, yang berasal dari Johor, ditemukan selepas dipercayai hanyut di bawa arus lebih 20 jam.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa dilaporkan hilang kira-kira pukul 11.45 pagi semalam selepas memaklumkan kepada instruktor mahu meneruskan aktiviti menyelam seorang diri walaupun kumpulan lain naik ke permukaan untuk bergerak ke lokasi seterusnya.
Katanya, usaha mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sebaik sahaj menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.15 petang oleh anggota Pondok Polis Salang.
“Siasatan awal mendapati mangsa menyelam bersama sembilan lagi rakan dan seorang instruktor bermula kira-kira pukul 10.45 pagi dan kesemua mereka naik ke permukaan sekitar pukul 11.20 pagi.
“Bagaimanapun, mangsa yang enggan naik bersama kumpulan menyelam turun semula ke laut seorang diri. Apabila beliau masih tidak timbul selepas lebih 30 minit, instruktor berkenaan kembali ke laut untuk mencarinya namun gagal.
“Operasi SAR dimulakan dengan kerjasama anggota polis dari Balai Polis Pulau Tioman, anggota bomba serta bantuan orang awam yang menggunakan bot untuk mencari mangsa di sekitar perairan Pulau Chebeh,” katanya hari ini.
Katanya, operasi terpaksa dihentikan kira-kira pukul 6.30 petang semalam berikutan hujan lebat dan angin kencang, namun disambung semula pagi ini dengan bantuan Pasukan Polis Marin dari Tanjung Gemok.
“Mangsa ditemukan kira-kira pukul 8.45 pagi tadi oleh sekumpulan orang awam yang sedang melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Tulai. Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan sihat. Difahamkan, dia dihanyutkan arus sejauh kira-kira 1.4 kilometer sebelum berenang menyelamatkan diri dan tiba di Pulau Tulai pada kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – UTUSAN











