PUCHONG: Sindiket pelaburan saham atas talian menggunakan nama Corsa Futures Sdn. Bhd. dan Delta Futures Sdn. Bhd. tumpas dalam satu serbuan polis pada sebuah premis di Bandar Puteri, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, hasil serbuan ke atas premis yang dijadikan pusat operasi itu, polis merampas tiga monitor komputer, dua unit CPU, enam komputer riba, 14 telefon bimbit pelbagai jenis dan satu modem WiFi.
Katanya, kesemua barangan yang dirampas dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti pelaburan atas talian secara tidak sah.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan kira-kira RM45,000. Sindiket berkenaan giat beroperasi sejak enam bulan lalu dan menyasarkan warganegara tempatan sebagai sasaran utama.
“Polis juga mengesan sekurang-kurangnya empat kes pelaburan tidak wujud di Selangor yang dikaitkan dengan kegiatan sindiket itu melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM399,787.04.
“Keempat-empat laporan yang diterima masing-masing dibuat di Petaling Jaya, Taman Melawati, Kampung Baru Subang dan Klang,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Muhamad Farid berkata, semua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau berkaitan dadah dengan hasil ujian saringan awal air kencing adalah negatif.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Menurutnya, polis turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan kerana menjalankan aktiviti pelaburan tanpa lesen sah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak latar belakang sebuah syarikat pelaburan terlebih dahulu untuk mengelak menjadi mangsa penipuan dan semakan boleh dibuat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan kesahihan sesebuah syarikat atau platform pelaburan.