Pengunjung Air Terjun Sekayu risau jambatan gantung runtuh

Pengunjung Air Terjun Sekayu risau jambatan gantung runtuh

KEADAAN jambatan gantung yang rosak mengundang kebimbangan pengunjung Air Terjun Sekayu, Hulu Terengganu. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Pengunjung Air Terjun Sekayu, di sini bimbang jambatan gantung yang rosak teruk dan hampir runtuh di kawasan pelancongan itu dibiarkan tanpa tindakan baik pulih atau dirobohkan.

Seorang pengunjung, Muhamad Zamri Md. Ali, 51, berkata, sebahagian struktur kayu jambatan yang reput selain kabel tergantung mampu mengundang bahaya kepada para pengunjung.

“Saya pulang bercuti dari Shah Alam, Selangor ke kampung di Kuala Terengganu dan ambil peluang datang berkelah di sini. Saya tidak pasti bila jambatan gantung ini mula rosak, namun ia kelihatan sudah lama.

“Kemudahan ini dulunya jadi tarikan utama pengunjung, sa-yangnya sekarang rosak teruk, kelihatan uzur dan mengundang risiko kepada pengunjung yang berada di bawah jambatan.

“Tidak mustahil, jika angin kuat kayu jambatan gantung reput boleh jatuh atas pe­ngunjung. Demi keselamatan, rasanya lebih baik dirobohkan sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, semalam.

Katanya, Air Terjun Sekayu masih mempunyai potensi besar sebagai salah satu destinasi pelancongan di Terengganu namun infrastruktur yang tidak terjaga sedikit-sebanyak merencatkan imejnya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Yasin Mat Rani, 9, berkata, dia terkejut melihat jambatan gantung yang dahulunya menjadi daya tarikan dan tempat wajib pengunjung bergambar, kini hampir runtuh.

Katanya yang tinggal di Batu 6, Manir, Kuala Terengganu, dahulunya dia kerap berkunjung membawa keluarga beriadah di destinasi pelancongan itu dan kali terakhir sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selepas PKP, ini kunjungan pertama semula ke sini. Paling menjadi perhatian saya ialah jambatan gantung yang rosak teruk dan berbahaya kepada pengunjung.

“Kawasan ini juga dulunya cantik, sesuai untuk berkelah tapi sekarang nampak seakan-akan tidak terjaga, suram dan kurang menarik. Banyak kemudahan lain juga rosak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN