PETALING JAYA: Peguam syarie, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib menafikan dakwaan pelakon, Fikry Ibrahim, kononnya kehadiran anak guamnya, Siti Khalizah Alihan ke mahkamah adalah bertujuan menarik semula kes cerai yang difailkan.
Ujar Wan Muhammad Afiq, sekiranya benar anak guamnya hadir untuk menarik semula kes, sudah tentu pihak mahkamah tidak akan memberi tarikh tangguhan.
“Ya betul pihak mahkamah memberikan tempoh yang panjang untuk berdamai. Sebenarnya kalau kes ditarik balik, mahkamah pun tidak akan memberikan tarikh tangguhan.
“Kami mohon tarikh selanjutnya adalah untuk menunggu pendirian atau jawapan dari plaintif (Fikry). Kalau kami tarik balik semalam maka selesailah. Tiada tarikh tangguhan.
“Tiada tarik balik dibuat semalam. Betul apa yang pihak media laporkan semalam dan saya pun takkan nak memaklumkan perkara yang bertentangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tegas Muhammad Afiq lagi, dia tidak pasti adakah benar Fikry menghantar anak guamnya ke mahkmamah, namun pelakon itu memang tidak hadir ke prosiding walau sudah menerima surat saman membuatkan kes ini terpaksa berlangsung lebih lama.
“Dia (Fikry) hantar atau tidak anak guam kami ke mahkamah, itu di luar bidang kuasa kami. Yang pasti semalam dia tidak hadir.
“Kami semua memang tunggu pendirian dia nak berdamai atau tidak. Pada dasarnya anak guam kami nak berdamai.
“Tapi dia pun tak datang semalam jadi tak bolehlah beri jawapan balas. Nak berdamai mungkin ada terma-terma yang perlu diikuti, mungkin boleh berbaik kembali, sebab itulah kita perlukan pendirian dan jawapan dia.
“Kalau dia datang semalam, kita boleh bincang atau dapat jawapan. Tapi dia tak datang jadi kami tak tahu pendirian dia dan sebab itulah mahkamah bagi tarikh tangguhan,” katanya.
Semalam menerusi sebuah program hiburan, Fikry memaklumkan peguam kepada isterinya ‘tidak habis cakap’ sebelum mendakwa tujuan isterinya ke mahkamah adalah untuk menarik semua kes perceraian.
Kenyataan itu bertentangan dengan respons peguam, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib ketika ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang mengatakan anak guamnya memfailkan perceraian kerana tiada persefahaman.
Tambah Muhammad Afiq, prosiding tuntutan permohonan cerai akan bersambung pada 10 September depan untuk memberi ruang kepada kedua-dua pihak berdamai.
Fikry bagaimanapun berkata perkahwinannya dengan Siti Khalizah Alihan berada dalam keadaan baik dan berjanji mahu menjaga isterinya itu. -UTUSAN