Penganggur didakwa pukul nenek

Penganggur didakwa pukul nenek

TERTUDUH (tiga dari kanan) dibawa masuk ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan memukul neneknya di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul neneknya di Kaki Bukit, pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohd. A’izzat Arzami, 29, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshahida Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan, Mohd. A’izzat didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada neneknya, Che Minah Man, 74 di hadapan sebuah rumah di Batu 16, Jalan Kaki Bukit, Padang Besar, sekitar pukul 5 petang, Sabtu lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama dan membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom memohon agar mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM6,000 namun tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Afida Nurizzatie Abdul Lateh merayu jumlah dikurangkan atas alasan anak guamnya kehilangan ibu bapa dan kini tinggal bersendirian.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan syarat tambahan di mana tertuduh tidak dibenarkan menganggu mangsa sepanjang prosiding berlangsung dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 Julai depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN